• Mon. Dec 23rd, 2024

Tiga ADUN PKR di gugurkan

Byjournal

Jul 23, 2023

SEREMBAN: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Negeri Sembilan digugurkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Mereka ialah penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi yang merupakan Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan; penyandang DUN Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan serta penyandang DUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching.

Tempat mereka diganti dengan muka baharu iaitu masing-masing Dr Rajasekaran, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Yew Boon Lye, manakala di DUN Pilah pula menampilkan calon wanita, Nur Zunita Begum menggantikan Mohamad Nazaruddin Sabtu yang tidak sihat.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula terus dipertaruhkan untuk mempertahankan DUN Sikamat begitu juga penyandang DUN Labu, Ismail Ahmad yang merupakan Exco Pembangunan Luar Bandar.

Sementara itu, pengguguran nama tiga bekas ADUN berkenaan sememangnya sudah dijangka dari awal kerana kerap dilihat mengkritik kepimpinan Aminuddin sama ada dalam parti atau kerajaan negeri.

Malah mereka turut didakwa terlibat dalam membuat kenyataan media yang kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Yek Diew Ching ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad juga tidak menolak penggugurannya ada kaitan dengan kelantangannya mengkritik sebelum ini.

“Kalau tak betul saya akan tegur dan ia untuk kebaikan. Malah teguran saya bukannya secara terbuka.

“Tapi parti sudah buat keputusan saya tidak dicalonkan kali ini dan sebagai ahli parti saya terimalah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *