SEKINCHAN: Datuk Seri Amirudin Shari berterima kasih atas cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor namun gabungan Kerajaan Perpaduan perlu bersungguh-sungguh menterjemahkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata cadangan Perdana Menteri itu pertama kali didengarnya.
“Ini saya percaya akan dapat konsensus (sokongan menyeluruh) daripada pimpinan. Dan saya ucapkan terima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan (Perdana Menteri) dan ia perlu dibuktikan kemenangan dalam PRN,” kata beliau yang ditemui pemberita selepas Program Sentuhan Agro MADANI peringkat negeri di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri secara rasmi hari ini mengumumkan Amirudin bakal dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya Kerajaan Perpaduan terus menerajui Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Anwar berkata cadangan bagi mengekalkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu dibuat berikutan prestasi Amirudin dalam mentadbir negeri, yang menyaksikan negeri itu berada pada kedudukan terbaik dalam pertumbuhan ekonomi negara.