Categories: news

PRN: Nafi senarai calon PKR Selangor tular, ia usaha melobi – Amirudin

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini menafikan senarai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini dan menyifatkan ia sebagai usaha melobi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

Beliau berkata senarai calon PKR DUN Selangor hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Calon PKR, yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini.

“Saya pun tidak tahu macam mana orang itu boleh tahu senarai calon, calon perlu ditandatangani dan dipilih oleh jawatankuasa, 16 dan 17 hari bulan ini baru kita nak mesyuarat senarai calon.

“Ini semua kaedah lobi yang biasa nak pilihan raya tetapi saya nafikan senarai ini, bila nak pilihan raya itu perkara biasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senarai calon PKR Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan program Jaringan BizClub: BizMatch Mega 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR Selangor pada PRN kali ini, Amirudin masih mengunci mulut dan menyerahkan kepada peringkat tertinggi parti untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak berada dalam posisi nak dedahkan (senarai kerusi), yang dedah kerusi-kerusi (parti lain) itu oleh pimpinan pusat. Walaupun saya naib presiden tapi saya bukan dalam posisi nak menjelaskan, mungkin Rafizi (Timbalan Presiden PKR, Ramli Ramli) atau Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh beritahu mana kerusi-kerusi itu,” katanya.

Amirudin yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

journal

Recent Posts

PRN Terengganu: Samsuri pertahan kerusi, Amzad terus kekal calon pilihan PRK

KUALA TERENGGANU: Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dikekalkan sebagai calon Pilihan…

1 year ago

PRN Kelantan: 23 calon PN muka baharu

KOTA BHARU: Satu sejarah baharu tercipta dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan apabila lebih 51…

1 year ago

Ciapan tanding kerusi Pulai, Presiden Gerakan dakwa akaun Twitter digodam

KUALA LUMPUR: Presiden parti Gerakan, Datuk Dominic Lau mendakwa akaun Twitternya digodam, selepas tularnya satu…

1 year ago

Speaker DUN Johor akan maklumkan kekosongan kerusi Simpang Jeram kepada SPR

PONTIAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi, akan memaklumkan kekosongan kerusi…

1 year ago

BN umum calon terakhir di DUN Tanjung Dawai, lengkapi 108 kerusi ditandingi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) pada Isnin mengumumkan nama calon bagi mengisi kerusi Dewan Undangan…

1 year ago

‘Calon anak beranak, tak sepatutnya dijadikan isu’ – Bibi Sharliza

PORT DICKSON: Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid mengakui sudah…

1 year ago