Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa mengesahkan yang dia telah mengemukakan permohonan bagi menyertai parti PAS.
Annuar berkata, borang permohonan keahlian bagi menyertai PAS telah dihantar beberapa bulan lalu dan masih belum mendapat kelulusan PAS.
“Bukan 10 orang lebih daripada 1,000 bersama-sama dengan saya insya-Allah pada minggu kedua bulan Jun, kita hanya sekarang sedang menunggu (keputusan) daripada parti PAS.
“Saya mengesahkan saya telah membuat permohonan (menyertai) PAS, terpulanglah pada PAS untuk menerima saya ataupun tidak kerana saya ini bukan sesiapa pun.
“Keputusan yang saya buat (menyertai PAS) setelah saya meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara dan juga keadaan berlaku dalam politik Umno itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Muafakat Nasional (MN) di ibu negara, hari ini.
Dua hari lalu, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan kemasukan Annuar serta lebih 10 bekas pemimpin Umno untuk menganggotai parti itu.
Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, berkata bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga dilihat seperti menunjukkan minat yang sama untuk menyertai Bersatu.
Katanya, pengumuman penerimaan keahlian tokoh politik berkenaan dalam PAS dijangka dibuat penghujung bulan ini.
“Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu sudah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman saja yang dijangka dilakukan pada akhir bulan ini,” kata Takiyuddin.
Dalam pada itu, Annuar juga berkata, keputusannya menyertai PAS dibuat bukan kerana ingin menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Sebagai ahli parti hak bertanding bukan hak kita, bila kita jadi ahli sesuatu parti kena reda. Jangan letak matlamat untuk jadi calon.
“Kalau parti memilih dan ditakdirkan begitu…Reda, pikul tanggungjawab. Kalau pun tak jadi calon perjuangan tetap teruskan,” katanya lagi.
Sementara itu, Annuar berkata dia tidak memohon untuk kembali menyertai Umno yang disifatkannya telah rosak secara total.
Katanya PAS adalah pilihan tepat buatnya untuk meneruskan agenda penyatuan ummah yang pernah digagaskan bersama sebelum ini.