Hanya kerana atlet gagal raih 40 pingat emas, Ketua Pemuda Pas desak Menteri mohon maaf.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli digesa memohon maaf secara terbuka Atas kegagalan negara mencapai sasaran 40 pingat emas ditetapkan pada Sukan SEA Hanoi yang berakhir semalam.
Ketua Pemuda PAS, Fadhli Shaari, berkata Kementerian Belia dan Sukan juga perlu membuat pasca nilai bagi mengetahui punca sebenar dan tidak hanya menyalahkan atlet semata-mata.
“YB menteri dan timbalannya, rakan saya Adam perlu mengambil langkah membina semula sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet bagi mencungkil lebih ramai bakat baru.
“Selain mengakui kegagalan pengurusan di beberapa peringkat adalah merupakan penyebab utama sasaran pingat Sukan SEA edisi kali ini tidak berjaya dicapai,” katanya di Facebook.
Semalam, Hannah dilaporkan berkata analisis pencapaian kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 hanya akan dibuat selepas semua mereka kembali sepenuhnya ke tanah air Jumaat ini.
Kontinjen negara mengumpul 176 pingat merangkumi 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa menjadikan Malaysia berada di tempat ketujuh daripada 11 negara yang bertanding.
Fadhli berkata, keputusan diperoleh lebih mendukacitakan bagi keseluruhan rakyat, malah lebih teruk daripada pencapaian Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada 2021.
“Malah ia menjadi titik noktah hitam negara kerana pada edisi 1983 dan 2021, Malaysia masih mampu menduduki tangga keenam bagi keseluruhan dan ia lebih mengecewakan apabila berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja,” katanya.