KUALA LUMPUR : Pendakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dilihat satu ancaman terbesar Pakatan Harapan (PH) terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun pendakwaan itu adalah dibuat oleh sistem perundangan tetapi dalam konteks PRN, ia tidak boleh dipisahkan kesan politik daripada apa yang berlaku.
Malah katanya dalam konteks PRN, Pas turut mengakui Muhammad Sanusi adalah ‘panglima’ hadapan.
“Kalau sudah sampai nak heret Sanusi ke mahkamah, nak tuduh dia di mahkamah, ini adalah serius. Kalau kita nak letakkan konteks ini, konteks adalah Sanusi untuk PRN ini adalah ancaman terbesar PH.
“Saya rasa kita setuju dengan sokongan penonton di YouTube Keluar Sekejap hingga 600,000 tontonan. Jadi dia adalah antara ancaman terbesar,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
Tambah Khairy, walaupun laporan polis dibuat oleh Majlis DiRaja Selangor terhadap Muhammad Sanusi tiada kaitan dengan politik tetapi kuasa pendakwaan adalah di bawah Pejabat Peguam Negara (AGC).
Ujarnya, sebarang keputusan pendakwaan penting seperti ini yang ada implikasi politik pasti akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ia dilaksanakan.
“Perdana Menteri boleh kata, saya tiada pilihan sebab AGC mengesyorkan dan sebagainya, tetapi mesti ada pertimbangan politik,” kata Khairy.
Sementara itu, Khairy dan Shahril juga setuju dengan keputusan AGC berkenaan tindakan yang dikenakan kepada individu termasuk pemimpin yang disiasat melibatkan isu 3R (Bangsa, Agama dan Institusi Diraja).
Shahril mendakwa, persoalan yang sah juga diutarakan terhadap beberapa ucapan 3R termasuk oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang turut disiasat walaupun Guan Eng tidak bercakap soal menghina raja tetapi dikaitkan berunsur agama dan kaum.
“Saya rasa ini pun termasuk dalam 3R yang patut juga mendapat layanan serupa (siasatan dan pendakwaan),” katanya.
Dalam pandangan sama, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, Pengerusi DAP itu telah melanggar dua daripada tiga isu 3R iaitu bangsa dan agama.
“Sehubungan itu, kita nak melihat tindakan konsisten dari segi siasatan dan pertuduhan daripada AGC,” katanya lagi.