SEPANG : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Sebaliknya, beliau memberi jaminan akan terus aktif memberi sokongan kepada gerakan orang Melayu yang ingin mendapatkan hak mereka di negara ini.
“Tidak, saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, tetapi saya akan aktif menyokong gerakan Melayu yang mahukan hak mereka di negara ini. Mereka takut negara ini menjadi negara orang lain dan tidak menjadi Tanah Melayu.
“Tetapi jadi negara pelbagai bangsa dan semua orang boleh meminggirkan Melayu dan orang Melayu akan terus jadi miskin dan miskin. Itu objektif saya, bukan untuk jadi Perdana Menteri,” ujarnya.
Mengenai pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pergerakan Proklamasi Orang Melayu, ujar ahli politik berusia 97 tahun itu, beliau ingin bertemu dengan Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Saya memang nak bertemu dengan dia untuk menerangkan mengenai orang Melayu keseluruhannya dan bukan untuk menyokong sesiapa.
“Orang Melayu melihat mereka sudah hilang hak mereka di negara mereka sendiri, dan mereka akan terus terkesan kalau tidak mentadbir negara ini,” tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Proklamasi Orang Melayu Selangor di Sepang pada Rabu.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyatakan pendirian untuk bertemu dengan Muhyiddin dengan misi kembali bekerjasama sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat sama.