KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa, disisihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjadi sebab mengapa parti itu mahu bergerak secara solo dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa, beliau sukar untuk berjumpa dengan kedua-dua pemimpin itu untuk mengadakan mesyuarat ringkas.
Bahkan, dakwa Syed Saddiq, tiga surat kiriman MUDA kepada Saifuddin memohon untuk mengadakan mesyuarat ringkas turut dibiarkan tergantung serta diperlekeh oleh Menteri Dalam Negeri itu dengan memberi alasan tidak mempunyai masa menjawab surat berkenaan.
“Saya secara peribadi juga sudah berusaha untuk berhubung dengan Perdana Menteri dan pejabatnya dengan pelbagai cara termasuk di Parlimen, luar Parlimen, melalui kiriman mesej dan lain-lain.
“Malang sekali, tiada sebarang maklum balas,” dakwa Syed Saddiq dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Syed Saddiq berkata demikian sebagai reaksi beliau terhadap kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang mendakwa MUDA tidak perlu tergesa-gesa dan harus bekerjasama dengan keranaan perpaduan.
Pada Isnin, Syed Saddiq mengumumkan, parti pimpinannya itu memutuskan untuk bergerak secara solo pada PRN di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Kata Syed Saddiq, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar tumendakwa, MUDA tidak meminta sebarang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kontrak kerajaan, sebaliknya, hanya mahu mengatur pertemuam bagi mencadangkan jalan bergerak ke rut hadapan bagi membina Malaysia yang progresif serta berpaksikan reformasi.
Jelas Saddiq, Anwar juga tidak menunjukkan pembaharuan dan MUDA bertindak untuk memainkan peranan dalam semak dan imbang.
Tidak ketinggalan, kata beliau, beberapa kepincangan masih tidak dapat ditangani termasuk perjawatan GLC sebagai ganjaran politik dan peruntukan yang tidak adil untuk semua Ahli Parlimen.
Menurut Syed Saddiq, kerajaan juga masih belum menetapkan had penggal untuk Perdana Menteri dan tiada pemisahan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.