Ketua Penerangan PKR yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil hari ini menafikan PKR mengeluarkan surat tawaran kepada bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin untuk menyertai parti itu sebagai Timbalan Presiden.
Perkara itu dimaklumkan Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menerusi ciapan di laman Twitter rasminya, malam ini.
“Surat palsu yang sedang berlegar dalam media sosial, harap maklum,” katanya sambil melampirkan gambar salinan gambar surat palsu berkenaan.
Surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Agung PKR dan ditandatangani Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu meminta Khairy untuk memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.
Awal tahun ini, Khairy dipecat daripada UMNO atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO dan juga kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.