JITRA: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang turut disertai UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ini kerana, jelas beliau, UMNO yang terpalit dengan amalan kleptokrasi tidak selari dengan prinsip perjuangan parti Pejuang.
Beliau, bagaimanapun, berkata, parti pimpinannya masih terbuka untuk perbincangan mengenai sebarang kerjasama terutama dengan pihak-pihak yang berada pada ‘jalur Melayu’.
“Kami (sebenarnya) masih terbuka untuk berbincang, tetapi sepertimana yang disarankan oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad), kita (akan bersama dengan pihak yang) ikut jalur Melayu.
“Jadi dari situ kita boleh faham ada pihak yang kita tidak boleh ikut dan (pihak) satu lagi walaupun (bawa nama) Melayu tetapi terpalit dengan kleptokrasi, yang itu pun kami tidak boleh (kerjasama), (seperti) saya katakan daripada dulu, kami berpegang teguh kepada prinsip “di mana ada UMNO, di situ kami tiada,” katanya.
Mukhriz berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini, Jitra malam tadi (Khamis).
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Pejuang masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menyertai PRN ataupun tidak.
Tambahnya, fokus utama parti ketika ini adalah dalam menyertai gerakan yang diasaskan bekas Pengerusi parti berkenaan, Dr Mahathir melalui medium sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu.
Bekas Menteri Besar Kedah itu juga belum memutuskan sebarang pendirian mengenai keputusan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitrapada PRN akan datang.
Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) telah membuat keputusan menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.,
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri kepimpinan tertinggi komponen parti PN.